Tuesday, February 20, 2007

TEST

Dalam mendalami Islam, masyarakat kita lebih banyak ditekankan dengan perkara-perkara berkaitan syariat, perihal berwuduk, solat, puasa dan sebagainya tetapi penekanan terhadap pengetahuan aqidah amat kurang. Sedangkan aqidah yang sahih menjamin amalan kita diterima. Tidaklah ini bermakna bahawa semua hal yang disebutkan di atas itu tidak penting, tetapi perkara yang dasar perlu didahulukan untuk memastikan bangunan iman itu bebas dari kerosakan.

Aqidah lahir dari perkataan ‘aqd yang membawa makna penguatan, pemantapan, dan pengikatan dengan kuat manakala menurut istilah adalah keimanan yang teguh, yang tidak dihinggapi suatu keraguan apapun bagi pemiliknya. [lihat Mujmal Ushul Ahlis Sunnah wal Jama'ah fi Al 'Aqidah (edisi terjemahan), Dr. Nashir bin Abdul Karim al-'Aql, bahagian Muqaddimah.]

Kita perlu yakin hanya kepada aqidah yang sahih sahaja; iaitu aqidah yang diturunkan melalui rasul-rasul pada setiap tempat dan zaman kerana ianya turun daripada Yang Maha Esa. Firman Allah yang bermaksud:



Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. [an-Nahl 16:36]

Aqidah yang berbeza dari apa yang diajarkan Rasul merupakan aqidah fasad (buruk). Bercambahnya aqidah fasad ini berpunca daripada akal fikiran manusia semata ataupun kombinasi akal fikiran serta hawa nafsu seperti mana yang terdapat dalam aqidah Yahudi, Nasrani atau golongan-golongan sesat yang mengaku Islam seperti Khawarij, Muktazilah, Murjiah, Jahimiyyah, Qadariyyah dan bermacam lagi. Perkara aqidah tidak mampu ditentukan akal melainkan wahyu kerana walau setinggi mana akal fikiran manusia namun ilmu yang ada disisinya adalah terhad dan tidak mencukupi. Selain dipengaruhi persekitaran, adat resam, peniruan cara hidup dan pemikiran pihak-pihak lain.

Sekiranya ditanya apakah kita beragama Islam dengan aqidah seperti mana aqidah Islam yang diajarkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Tentunya setiap yang mengaku Muslim akan menjawab ‘YA’. Tepi sedarkah kita jawapan yang sama juga akan keluar dari mulut golongan-golongan sesat Khawarij, Muktazilah, Murjiah, Jahimiyyah, Qadariyyah dan lain-lain. Begitu juga apabila ditanya apakah kita berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah Rasul-Nya? Maka sekali lagi kita boleh lihat semua pasti memberikan jawapan yang sama. Sekalipun di dalam perkara-perkara aqidah yang merupakan perkara teras, iktikad mereka yang berbeza dengan kita golongan ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Jadi siapakah yang benar? Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:





Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah. [ Hasan: Sunan Abu Daud – no: 4429]

Apakah yang menjamin kita berada di dalam golongan yang dijanjikan syurga seperti yang disebutkan di dalam hadis tersebut? Bagaimanakah untuk menjamin bahawa pegangan kita adalah pegangan yang diajar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa sebarang pencemaran? Untuk memastikan iktikad kita benar maka pemahaman kita terhadap al-Quran dan al-Sunnah perlulah selari dengan pemahaman Salaf al-Ummah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:



Sebaik-baik kalian adalah pada kurun aku, kemudian pada kurun yang mengikutinya, kemudian pada kurun yang mengikutinya.[ Sahih: Sahih al-Bukhari – no: 3650.]

Hadis tersebut merujuk kepada para Sahabat, mereka yang mengikuti sahabat (Tabi’in) dan mereka yang mengikuti Tabi’in (Tabi’ at-Tabi’in). Tiga generasi awal itulah yang disebut sebagai Salaf al-Ummah. Hadis tersebut bertujuan untuk menjadikan umat Islam pada tiga generasi tersebut sebagai contoh dan modal ikutan umat-umat Islam. Hal ini seperti mana yang dianjurkan dalam firman Allah yang bermaksud:








Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100]

Perkara yang paling utama sekali perlu dicontohi tentulah dalam hal-hal aqidah kerana merekalah yang mempunyai aqidah yang murni. Cara pemahaman kita terhadap al-Quran dan as-Sunnah juga mesti bertepatan dengan cara mereka yakni Salaf al-Ummah memahaminya dan bukannya pemahaman mengikut hawa nafsu dan kesombongan diri. Marilah kita bertanya pada diri, apakah aqidah kita selari dengan mereka, generasi terbaik yang diiktiraf Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam?


Edry Faizal bin Eddy Yusof
Timb. Amir Institusi Usrah Cyberjaya 06/07
Risalah Jumaat, jld. 12, Trimester 3, 9 Febuari 2007.

Newer Posts Older Posts Home