Buku
Assalamualaikum,
Buku apakah yang anda baca sejak dua menjak ni? Saya terasa ingin berkongsi beberapa bacaan saya dalam dua bulan ni. Diantara June hingga July saya telah membaca beberapa buku di bawah yang banyak memberikan imput bermakna. Saya sertakan komentar ringkas saya juga.
KETIKA CINTA BERTASBIH (Ep.2)

Sebuah karya Habiburahman El-Syirazy yang turut biasa dikenali sebagai Kang Abik. Letak ke tepi dahulu kritik sastera. Ketika membaca Ketika Cinta Bertasbih ep.1 saya merasakan novel ini lebih terasa emosi dan membuatkan saya ketagihan untuk menghabiskannya berbanding novel Ayat-Ayat Cinta. Watak utamanya adalah Azzam, seorang pelajar Azhar yang bertungkus lumus mencari pendapatan untuk membantu keluarganya. Sering dipandang negatif kerana tidak lagi menamatkan kuliahnya. Kita akan dibawa merentasi hidup Azam dengan simpati pada episod pertama. Saya sendiri beberapa kali merasakan sebak terhadap perkara-perkara yang menimpa Azam. Episod pertama juga mengembangkan cerita beberapa watak lain dalam KCB.
Episod ke- 2 lebih tertumpu kepada kisah Azam meneruskan hidupnya di Indonesia. Selain perperangan jiwanya kerana sering dapat bertemu Anna Althafunnisa yang diminatinya diam-diam namun sudah jadi tunangan sahabat rapat Azzam, Furqan. Sesiapa yang ingin membacanya perlulah mula dengan episod pertama bagi menimbulkan teruja untuk menghabiskan episod ke-2 ini.
MENCARI JALAN PULANG: DARIPADA SOSIALISME KEPADA ISLAM

Sebuah autobiorgrafi kepada seorang pemikir, ahli politik dan penulis kontroversi, Kassim Ahmad. Bila sebut nama ini yang biasanya terlintas dalam fikiran adalah 'anti hadis' kerana begitulah yang diberitahu kepada kita. Kita pun ikutlah secara buta tanpa kita pernah baca pun tulisan-tulisannya. Apa yang saya lihat dan baca, beliau bukan anti kepada hadis tetapi selektif dalam memilih hadis dan menolak hadis-hadis yang kononnya bercanggah dengan al-Qur'an.
Secara teknikal saya lihat autobiografi ini tidak disunting dengan baik kerana kadangkala terdapat beberapa perkara yang seperti diulang-ulang. Seandainya memang beliau punya tujuan tertentu berbuat demikian maka tidak mengapa. Setiap imbauan kisah hidup biasanya akan diselitkan idea atau perkembangan pemahaman beliau ketika itu baik terhadap kehidupan atau agama. Pada saya buku ini adalah satu perkongsian pengalaman yang sangat menarik. Mengajar kita melihat daripada perspektif seseorang seperti Kassim Ahmad dan melihat bagaimana sesuatu pemahaman itu boleh berevolusi. Apakah beliau sudah benar-benar berjumpa dengan jalan pulangnya? Bacalah dan cari jawapannya.
Terima kasih kepada Ain (ketua biro Akademik 0809) sebab meminjamkan saya buku ni. Saya berhasrat membelinya nanti bila sudah dapat gaji untuk dijadikan koleksi :)
APA ITU PENCERAHAN?

Ianya merupakan terjemahan bahasa Melayu kepada sebuah esei karya Immanuel Kant yang bertajuk Beantwortung der Frage: Was ist Aufklärung? Immanuel Kant adalah seorang filasuf besar dari Prussia (kini Jerman). Beliau menulis karya-karya falsafahnya ketika zaman Pencerahan. Beliau memperkenalkan falsafah kritis melalui tiga masterpiecenya iaitu Kritik der reinen Vernunft, Kritik der praktischen Vernunft dan Kritik der Urteilskraft. Beliau merupakan salah seorang filasuf terhebat di zaman Pencerahan.
Buku ini tidak tebal namun isinya cukup membuat saya berfikir berhari-hari. Hingga saya hampir gagal menulis apa-apa artikel akibat terkesan dengan kandungannya. Isinya membuatkan saya merenung kembali kedunguan dalam wacana saya dan sejauh mana saya benar-benar berfikir.
IF GOD IS GOOD WHY IS THE WORLD SO BAD?

Buku karangan Benjamin Blech, seorang Rabbi dalam agama Judaism. Sekalipun ditulis oleh seorang Rabbi Judaism dan banyak menggunakan Talmud sebagai rujukan. Namun kebanyakkan konsepnya adalah universal dan boleh digali dalam sumber orang Islam sendiri iaitu al-Quran dan al-Hadis. Malah dengan membaca buku ini juga saya dapat melihat banyakkan persamaan antara Judaism dan Islam dalam beberapa aspek. Malah saya tersenyum apabila membaca Benjamin Blech tertanya apakah ada agama lain yang menyatakan bayi lahir dalam keadaan 'pure' seperti Judaism.
Penulis buku tersebut menekankan dalam menjawab mengapa wujud kesengsaraan sekiranya Tuhan itu baik. Ianya perlu dijawab dalam beberapa aspek dan tidak mungkin dapat dijawab dengan ringkas dan melihat satu sudut saja. Maka keseluruhan kandungan buku ini mengupas satu persatu sudut dalam menjelaskan mengapa begitu banyak apa yang kita katakan kesengsaraan dalam hidup ini. Dan dalam masa sama tidak menafikan Tuhan itu pengasih. Juga tanpa menafikan bahawa Tuhan terlibat mengawal alam ini seperti mana yang dikatakan Harold S. Kushner di dalam When Bad Things Happened to Good People.
Buku yang sedang cuba dihabiskan...
RISALAH KAUM MUSLIMIN - SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS

CRITIQUE OF PURE REASON - IMMANUEL KANT

Salah sebuah masterpiece Immanuel Kant. Beliau menulisnya selepas 10 tahun mendiamkan diri. Antara buku paling susah saya pernah baca. Untuk memahami satu dua mukasurat, saya memakan masa 3-4 hari. Mungkin kerana saya memang seorang slow learner dan bukanlah genius. Maka saya memerlukan banyak masa menghadam isi perbincangan Kant yang mendalam. Jadi saya biasanya baca satu dua muka surat dan menghabiskan masa beberapa hari berfikir.
Kongsikanlah buku-buku yang korang dah baca. Boleh nanti pergi cari bila dapat gaji hehehe.

Post a Comment