Saturday, March 17, 2007

Ilmu Yang Terpinggir

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:



Solatlah kamu sekalian seperti kalian melihat aku solat. [Sahih al-Bukhari – no: 6819]

Tidak memerlukan seorang yang tinggi ilmunya untuk memahami maksud hadis di atas yang begitu eksplisit. Sangat jelas bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ingin umat Islam solat dengan mengikut sebagaimana beliau solat. Namun hari ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tiada lagi bersama kita. Maka Bagaimanakah kita hendak mengetahui dengan tepat bagaimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam solat? Maka tidak lain adalah dengan merujuk hadis-hadis baginda yang disampaikan secara berantai bermula daripada para Sahabat beliau sehinggalah ianya dibukukan.

Secara ringkas hadis atau Sunnah bermaksud apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam samada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat tubuh, sifat akhlak, samada sebelum diutuskan atau selepas dituskan. Ini termasuklah dengan segala ajaran serta penerangan beliau tentang Islam. Di Malaysia hari ni, pengetahuan tentang hadis atau ilmu hadis secara menyeluruh masih di tahap minimum. Sekolah-sekolah yang mengfokuskan kepada menghafaz al-Quran tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan begitu pesat, amun sekolah-sekolah yang memfokuskan pelajaran tentang ilmu hadis boleh dibilang dengan sebelah tangan. Bukan hendak menafikan keperluan dan kepentingan sekolah-sekolah tahfiz, cuma umat Islam perlu melangkah setapak lagi dalam mendalami ilmu Islam dengan menambah fokus pengetahuan kepada ilmu hadis. Bukankah hadis-hadis Nabi itu sendiri penjelas dan perincian kepada al-Quran? Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:


Dan kami turunkan kepadamu (Muhammad) Al Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.[an-Nahl 16:44]

Kehidupan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah terjemahan serta huraian bagi isi kandungan al-Quran. Isteri beliau Aisyah pernah berkata:




Sesungguhnya akhlak Nabi Allah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Al Quran. [ Sahih Muslim – no: 746]

Sekiranya pengetahuan dalam memahami as-Sunnah itu sendiri lemah maka longlailah juga pengetahuan mengenai al-Quran. Akan berlakulah keadaan dimana seseorang memahami al-Quran dengan cara yang jahil dan bukan mengikut apa yang diajarkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta pemahaman para Sahabat didikan beliau.

Mencintai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah wajib bagi setiap Muslimin. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:


Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku dicintai lebih daripada bapanya, anaknya dan manusia secara keseluruhannya. [Sahih al-Bukhari - no:15 dan Sahih Muslim - no:44]

Pepatah Melayu juga ada menyebut, ‘tak kenal maka tak cinta’. Adalah mustahil seseorang boleh merasakan cinta pada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa mengenali baginda. Dan tentunya bagi umat yang zamannya telah jauh daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, hadis adalah satu-satunya penghubung untuk memahami diri beliau.

Mendalami ilmu hadis dalam usaha memahami as-Sunnah juga membantu umat Islam untuk mengambil sumber yang benar dan sahih sahaja bagi memelihara agama daripada pencemaran. Adalah sedih melihat situasi hari ini apabila mereka yang ingin menyeru kepada agama Allah, tidak mempersiapkan diri dengan pengetahuan tentang as-Sunnah. Maka nasihat-nasihat mereka dalam mengajak kepada ma’ruf berpandukan hadis-hadis yang tidak sahih dan tidak thabit dari Nabi. Bukankah Allah telah menjelaskan di dalam surah al-‘Asr bahawa manusia itu dalam kerugian kecuali:



orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.[al-‘Asr 103:3]

Dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri memberikan amaran:



Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka. [Sahih Muslim – no: 3]

Mendalami as-Sunnah juga bukan sahaja akan membentuk kefahaman, akhlak, peribadi, kepimpinan tetapi juga metode dalam berdakwah. Para pendakwah yang mendalami dan memahami as-Sunnah akan jalas pada mereka cara yang digunapakai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam menyebarkan dakwah dan ini akan memastikan dakwah mereka bukan sahaja berjaya tetapi juga diredhai Allah Tabaraka wa Ta’ala.

Selain itu, ntuk memastikan amalan kita bertepatan dengan amalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasllam, salah satu ubatnya tentulah dengan memahami as-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini turut dijelaskan oleh Imam Syafi’i rahimahullah dimana beliau berkata:

Kamu semua hendaklah mendampingi orang-orang yang mempelajari hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat amalannya dalam kalangan manusia. [al-Adab al-Syar’iyyah, Ibn Muflih, jld.1, ms. 231]

Manfaat memahami as-Sunnah juga bukanlah terhad kepada hal-hal keagamaan sahaja tetapi juga duniawi. Seseorang yang faham dan cinta pada as-Sunnah sudah pasti akan cuba menjadi seorang yang cemerlang dalam akedemik atau karier kerana itu merupakan suruhan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang boleh didapati di dalam hadis-hadis beliau. Sebagai contoh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:



Sesungguhnya Allah ta’ala mengasihi jika seseorang itu bekerja, dia bekerja dengan cemerlang. [Dikeluarkan Abu Ya’la dan al-Baihaqi dan dinilai Sahih oleh Mokhtar Ahmad an-Nadwi di dalam Jamii’ li Syu’aib al-Iman – no: 4930]

Terlalu banyak manfaat baik bagi dunia mahupun akhirat yang boleh disenaraikan. Tidak dapat ianya memenuhi ruangan kecil risalah ini. Maka seharusnya setiap Muslimin memupuk rasa cinta pada ilmu hadis dan berusaha dalam mendalami ilmu tersebut. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Semua memerlukan usaha. Berusahalah sedaya upaya untuk memahami as-Sunnah yang besar manfaatnya ini. Doa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:



Semoga Allah memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar hadis daripadaku lalu menghafaznya sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain. [Sunan Abu Daud – hadis no: 3660]


Edry Faizal bin Eddy Yusof
Timb. Amir Institusi Usrah Cyberjaya 06/07
Risalah Jumaat, jld. 15, Trimester 3, 16 Mac 2007


0 comments:

Newer Post Older Post Home