Cinta Rasul
Telah dikehadapankan kepada saya satu cerita:
Rabi'atul-adawiyyah pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. dan baginda bertanya kepadanya sama ada beliau pernah mengingatnya sebagai sahabat. Rabi'atul-adawiyyah menjawab, "Siapa yang tidak kenal kepada tuan? Tetapi apakan dayaku. Cinta kepada Allah telah memenuhi seluruhku, hinggakan tidak ada ruang untuk cinta kepadamu atau benci kepada syaitan."
Dalam cerita tersebut menceritakan bahawa persona kisah itu, Rabi’at al-Adawiyah, dikatakan begitu mencintai Allah sehingga tidak ada ruang lagi dalam hatinya bagi mencintai Rasulullah shallalllahu ‘alaihi wasallam. Ianya menimbulkan tanda tanya kepada saya yang percaya bahawa cinta pada Rasulullah shallalllahu ‘alaihi wasallam adalah wajib dan merupakan tanda kesempurnaan dam kemanisan iman. Saya tidak berminat memberi komentar ke atas cerita tersebut kerana kesahihannya sendiri tidak diketahui. Seperti yang telah jelas, Rabi’at al-Adawiyah adalah antara ikon aliran Sufism. Sebagaimana Syaikh Abdul Qadir Jailani, beliau telah menerima nasib yang sama dimana kisah-kisahnmya telah banyak ditokok tambah atau direka-reka sehingga sukar membezakan yang mana benar dan yang mana khayalan. Kegersangan disiplin ilmu golongan yang begitu ta’asub kepada ikon-ikon tersebut menyebabkan mereka terima dan sebar apa sahaja kisah tanpa meneliti secara ilmiah ianya benar atau tidak.
Apa yang ingin saya kupas adalah berkenaan cinta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Agak membimbangkan apabila membaca komentar-komentar di sebuah forum siber mempertahankan kisah diatas bahawa bagi manusia di tahap-tahap tertentu (maqam-maqam wali) tidak perlu lagi cinta kepada Rasulullah shallalllahu ‘alaihi wasslam. Nas-nas menyuruh menyintai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dikatakan hanya ditujukan untuk orang awam yang belum mantap imannya, yang solat

CINTA KEPADA RASULULLAH SHALALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah insan yang terpilih menjadi utusan kepada risalah yang menyelamatkan umat manusia. Beliau dikasihi Allah Subhana wa Ta’ala dan Allah Subhana wa Ta’ala telah menjadikan beliau Rakan Karib-Nya. Ini disebut di dalam sebuah hadis, Rasulullah shallalllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
فإن الله تعالى قد اتخذني خليلا، كما اتخذ إبراهيم خليلا
Sesungguhnya Allah telah mengambilku sebagai Rakan Karib-Nya sebagaimana mana Nabi Ibrahim Rakan Karibnya. [Sahih Muslim – no:532]
Syaikh Ibn Utsaimin rahimahullah menjelaskan:
النبي صلى الله عليه وسلم حبيب الله لا شك فهو حاب لله ومحبوب لله ، ولكن هناك وصف أعلى من ذلك وهو خليل لله ، فالرسول صلى الله عليه وسلم خليل الله كما قال صلى الله عليه وسلم : " إن الله اتخذني خليلاً كما اتخذ إبراهيم خليلاً " رواه مسلم ( 532 ) . والخلة هي كمال المحبة
Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam tidak syak lagi adalah kekasih Allah, dia mencintai Allah dan Allah mencintainya. Akan tetapi disana ada diskripsi yang lebih tinggi daripada itu iaitu Khalillullah (Rakan Karib Allah), maka Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam adalah Khalillullah sebagaimana sabda baginda shalallahu ‘alaihi wasallam :'Sesungguhnya Allah telah mengambilku sebagai Rakan Karibnya sebagaimana mana Nabi Ibrahim Rakan Karibnya’ (Riwayat Muslim no: 532). Rakan Karib adalah lebih sempurna dari kekasih [Majmu' Fatawa Ibn Utsaimin, 1/319]
Adalah janggal seandainya seseorang mengaku mencintai Allah Subhana wa Ta’ala tetapi tidak mencintai Rakan Karib-Nya yang begitu dicintai-Nya. Firman Allah Subhana wa Ta’ala:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ
وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[Ali Imran 3:31]
Orang yang mencintai Allah Tabaraka wa Ta’ala atau mendambakan kasih Allah Tabaraka wa Ta’ala, tidak kira siapa, dari semulia-mulia para Sahabat sehinggalah seburuk-buruk Muslim wajib mengikuti dan taat pada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam. Dan antara suruhan baginda termasuklah untuk cinta kepadanya. Untuk seseorang itu mampu mencintai Allah Subhana wa Ta’ala dengan sebenar-benar cinta bermakna dia memerlukan kesempurnaan Iman. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين
Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku dicintai lebih daripada bapanya, anaknya dan manusia secara keseluruhannya. [Sahih al-Bukhari - no:15 dan Sahih Muslim - no:44]
Untuk menyintai Allah Subhana wa Ta’ala dengan sebenar-benar cinta juga merupakan kemanisan iman. Resipi bagi memperoleh kemanisan iman pula adalah seperti yang disabdakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان: من كان الله ورسوله أحب إليه مما سواهما، ومن أحب عبدا لا يحبه إلا لله، ومن يكره أن يعود في الكفر، بعد إذ أنقذه الله، كما يكره أن يلقى في النار
Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api. [Sahih al-Bukhari - no:21 dan Sahih Muslim - no:43]
Cinta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sebahagian daripada cinta kepada Allah. Kerana bagi kita tidak ada seorangpun yang lebih kita percayai selain orang telah dipilih oleh Allah sebagai utusan-Nya. Beliau telah diamanahkan oleh Allah untuk menyampaikan hidayah-Nya kepada umat manusia agar kita mendapat rahmat-Nya. Bagindalah orang yang paling berjasa menyelamatkan kita daripada kegelapan (kekufuran dan syirik) kepada cahaya terang benderang (Islam dan hidayah). Bagindalah yang telah membimbing kita untuk menuju kebahagian hakiki di dunia dan di akhirat. [Ustaz Dr. Abdullah Yasin, Makalah: Hadith, 19 February 2006]
Tidak ada sesiapa terlepas daripada tuntutan cinta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم، وهو آخذ بيد عمر بن الخطاب، فقال له عمر: يا رسول الله، لأنت أحب إلي من كل شيء إلا من نفسي، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (لا، والذي نفسي بيده، حتى أكون أحب إليك من نفسك).
فقال له عمر: فإنه الآن، والله، لأنت أحب إلي من نفسي، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (الآن يا عمر).
Kami bersama-sama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, yang saat itu sedang memegang tangan Umar bin al-Khattab. Umar berkata,
“Ya Rasulullah, engkau sungguh lebih aku cintai dari segala sesuatu selain diriku.”
Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tidak, demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.”
Umar berkata, “Sekarang engkau sungguh aku cintai dari diriku sendiri.” Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berkata, “Sekarang umar (barulah sempurna imanmu)”. [Sahih al-Bukhari – no:6257]
Kalau Umar al-Khattab radhiallahu ’anhu, antara para Sahabat utama, salah seorang daripada Khulafa ar-Rasyidin pun mencintai Allah Subhana wa Ta’ala dan Rasul-Nya, apakah kita hendak mengatakan ada manusia di zaman terkemudian lebih baik daripada Umar radhiallahu ‘anh, mencintai Allah tanpa perlu cinta kepada Rasul-Nya? Generasi Sahabat merupakan generasi paling mencintai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka diperakui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai generasi terbaik. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
خير الناس قرني، ثم الذين يلونهم، ثم الذين يلونهم
Sebaik baik manusia adalah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka. [Sahih al-Bukhari – no:3451]
Al-Abiy rahimahullah berkata:
Keutamaan para sahabat radhiallahu ‘anhum adalah kerana kehadiran mereka bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sekalipun hanya sekelip mata. Tiada siapa pun yang dapat menyamai amalan serta mencapai akan darjat mereka. Keutamaan mereka adalah sesuatu yang tidak dapat diukur (kerana keistimewaannya yang tiada tolok bandingan). Itulah kurniaan Allah ke atas sesiapa yang dikehendaki-Nya. [Syarh Sahih Muslim li al-Abiy, jld 6, ms. 362. Keterangan seperti diatas juga dikemukakan oleh an-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslimnya, jld 16, ms. 93. Kedua-dua mereka menukilnya daripada al-Qadhi ‘Iyadh.]
Kenyataan diatas dikuatkan dengan sebuah hadis, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لا تسبوا أصحابي، فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا، ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفه
Jangan kamu mencaci para sahabatku! Sekiranya seorang dari kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan sama ganjaran yang dilakukan oleh mereka walau secupak mahupun setengah. [Sahih al-Bukhari – no:3470]
Mereka yang telah terjamin tempatnya di syurga, yang mempunyai martabat tertinggi pun mencintai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, apakah layak bagi manusia selepas itu yang tidak terjamin syurga baginya memilih untuk tidak mencintai baginda? Hari ini manusia lebih cenderung memuliakan fulan itu fulan ini tetapi tidak mengambil para Sahabat yang sememangnya jelas kemuliaan mereka sebagai contoh tauladan selepas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
JOM CINTA RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
Marilah kita mencintai Allah Subhana wa Ta’ala dan Rasul-Nya. Tidak mungkin lahir cinta kepada Allah Subhana wa Ta’ala tanpa cinta utuh kepada Rasul-Nya. Cinta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah tuntutan keatas semua mukmin tanpa pengecualian, berdasarkan nas-nas yang jelas. Berhati-hati dengan tipu daya syaitan. Syaitan tidak semestinya mengajak kepada perkara yang terang-terangan buruk, malah antara strateginya yang berjaya adalah mengkosmetikkan sesuatu keburukan itu agar nampak baik dan Islami hingga tertipulah mereka-mereka yang tidak melihat kepada firman-firman Allah dan sunnah-sunnah Rasul-Nya. Moga kita dijauhi daripada pemikiran zindiq yang tidak berpaksikan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Moga kita dapat bersama dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tercinta bila tiba saatnya nanti. Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anh:
قال رجل: يا رسول الله! متى الساعة؟ قال "وما أعددت لها؟" فلم يذكر كبيرا. قال: ولكني أحب الله ورسوله. قال "فأنت مع من أحببت".
Seorang lelaki bertanya, “Bilakah berlakunya Kiamat?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Apakah persediaan kamu untuk menghadapinya?” Lelaki itu menjawab, “Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Kamu akan tetap bersama orang yang kamu cintai.” [Sahih Muslim – no:2639]
Wallahua’lam
Keramat
4 Jun 2007 / 18 Jumada Awwal 1428
3.41 pm

Post a Comment